ISU KALIMAH ALLAH: PELIHARA KEDAULATAN AGAMA ISLAM, TERMAKTUB DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN – MUFTI WP

KUALA LUMPUR: Isu penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam perlu diselesaikan oleh pihak berautoriti dengan lebih berhemah dalam masa terdekat.

Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, umat Islam perlu kekal teguh memelihara kedaulatan agama Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Meskipun berasa dukacita di atas keputusan ini, namun pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) masih percaya isu ini akan diselesaikan dengan cara yang lebih harmoni dalam masa terdekat oleh pihak-pihak yang berautoriti dalam negara,” dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dr Luqman mengulas lanjut, sebarang hal yang menyentuh perihal agama secara tidak langsung berkait dengan nilai sensitiviti yang mesti dijaga dengan baik.

Menurutnya, ianya boleh mencetuskan ketegangan antara agama serta kaum jika isu berkenaan tidak dapat diselesaikan dengan cara yang lebih harmoni.

Bagaimanapun, PMWP menyeru agar umat Islam terus kekal bersatu atas dasar aqidah Islam yang sahih berteraskan Ahlus Sunnah wal Jama’ah.

“Ingatlah, bersatunya umat Islam adalah asas pembinaan khayra ummah (umat yang terbaik) sekaligus menjadi tauladan kepada sekalian umat manusia,” katanya.

Tambahnya, umat Islam disarankan untuk mengukuhkan keimanan dengan memelihara ibadah-ibadah yang dituntut bagi menguatkan dasar kekuatan Islam dalam mendepani apa jua cabaran yang akan datang.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain iaitu solat, Kaabah dan Baitullah dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka—AlHijrah Online

Leave a Reply