JAKIM JEMPUT 9 PANEL KE FORUM PERDANA BINCANG ISU VAKSIN

Image

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk “Vaksin : Cegah Sebelum Kalah” yang akan disiarkan secara langsung menerusi slot rancangan Forum Perdana Ehwal Islam di TV1 pada 25 Februari 2021 (Khamis), jam 9.00 malam hingga 10.30 malam.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh, forum yang menampilkan sembilan orang ahli panel dan dua orang moderator itu merupakan julung-julung kali diadakan dengan menampilkan barisan panelis teramai.

Ia diadakan sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

“Antara panel yang akan mengupas topik berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hishamshah Mohd Ibrahim, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah, dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Selain itu turut akan hadir sebagai panel, Timbalan Mufti Negeri Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI), Datuk Wan Zahidi Wan Teh, Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah dan Pendakwah Firdaus Wong,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Moderator bagi forum tersebut ialah Pegawai JAKIM, Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud dan Pegawai Jabatan Agama Islam Selangor Ustaz Rizal Ramli.

Abdul Aziz berharap penganjuran forum itu akan dapat memberi kefahaman kepada seluruh lapisan masyarakat mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebagai salah satu usaha dan ikhtiar pihak kerajaan selaras dengan Maqasid Syariah demi menjaga nyawa ummat. — AlHijrah Online

Leave a Reply