Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

JAKIM LAPOR POLIS, PANGGIL HARITH ISKANDER BERHUBUNG ISU “HAM”

DALAM NEGARA

JAKIM LAPOR POLIS, PANGGIL HARITH ISKANDER BERHUBUNG ISU “HAM”

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pelakon terkenal Harith Iskander akan dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung hantaran di Facebook mengenai isu “HAM”yang disamakan dengan Nabi Muhammad SAW yang tular di media sosial akhir-akhir ini. 

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya juga telah membuat laporan polis bagi siasatan dan tindakan lanjut.

“JAKIM juga telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan sekatan akaun dan menurunkan kandungan.

“Semua pihak diminta bertenang dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan JAKIM tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang tindakan yang mempersendakan ajaran Islam dan menyinggung sensitiviti umat Islam serta menyeru agar semua pihak mengamalkan sifat hormat dan bertoleransi dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambah beliau kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan negara haruslah dihormati pada setiap masa dan bukanlah alasan untuk masyarakat tidak menjalani kehidupan yang harmoni dalam situasi masyarakat berbilang kaum dan agama.

Sebelum ini Polis Johor memaklumkan telah menerima tiga laporan terhadap Harith Iskander yang didakwa menghina agama Islam menerusi hantaran dimuat naik di akaun Facebooknya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu membuat kenyataan dengan niat melukakan perasaan agama seseorang dan Seksyen 505(c) kanun sama kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan. 

Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.  — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading