JAKIM TANGGUH BERI ELAUN PENUH CUTI BERSALIN GURU KAFA

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menangguhkan pelaksanaan kemudahan cuti bersalin berelaun penuh kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) wanita.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, ini kerana Kementerian Kewangan pada 6 Julai lalu berpendapat pelaksanaan kemudahan tersebut tidak sesuai buat masa ini kerana kedudukan status perjawatan guru KAFA.

“Sebagai mematuhi saranan dan pandangan tersebut, JAKIM telah mengeluarkan surat penangguhan pemberian kemudahan tersebut pada 21 Julai 2022.

“JAKIM dalam usaha membuat rayuan kepada Kementerian Kewangan dan sedang menjustifikasi langkah yang dibuat untuk pertimbangan semula kementerian itu,” katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Menurutnya, Januari lalu JAKIM telah mengeluarkan Peraturan-Peraturan Pelaksanaan Program KAFA Baharu Tahun 2022 untuk diguna pakai oleh semua Agensi Pelaksana KAFA.

Antara perkara baharu dimasukkan dalam peraturan tersebut merupakan Kemudahan Cuti Bersalin Berelaun Penuh yang diberikan kepada guru KAFA wanita sekali dalam tempoh kontrak yang berkuat kuasa yang sebelum ini tidak pernah diberikan.

Ujar Hakimah, keputusan tersebut dibuat sebagai salah satu usaha dan inisiatif JAKIM dalam menjaga kebajikan golongan Guru KAFA wanita yang bersalin.

Dalam pada itu, JAKIM bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad mengadakan perjumpaan bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

“Perjumpaan tersebut bagi membincangkan isu kebajikan bagi guru dan Penyelia KAFA mencari jalan bagi membela dan menjaga kebajikan semua pihak yang berada di bawah kawal selia JAKIM termasuk guru KAFA.

“JAKIM amat mengharapkan sokongan dan doa dari semua pihak agar usaha berterusan yang dibuat oleh pihak kerajaan melalui JAKIM selama ini dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply