JANGAN MUDAH TERMAKAN DENGAN DAKYAH, PATUH SOP DAN AMBIL VAKSIN

KOTA BHARU: Setiap keputusan yang diambil kerajaan terutama dalam menangani wabak COVID-19 adalah untuk kebaikan setiap rakyat.

Menurut Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, masyarakat Malaysia perlu sedar dan tidak mudah termakan dengan dakyah-dakyah sesetengah pihak terutama berkenaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pengambilan suntikan vaksin.

Mohamad Shukri turut memberikan contoh akibat termakan dengan dakyah, terdapat segelintir penduduk yang sanggup melanggar SOP untuk melakukan solat berjemaah dalam jumlah yang ramai secara sembunyi.

Daripada kejadian itu berlakunya penularan jangkitan COVID-19 seperti yang berlaku di Bachok, baru-baru ini.

“Ada pihak yang mempersoalkan kenapa solat dihadkan di surau dan masjid sedangkan masjid adalah ‘rumah Allah’.

“Ramai yang mahu rapatkan saf, tetapi kita sepatutnya tahu waktu darurat kena hadkan jarak, ternyata mereka tidak nampak perbezaan di waktu aman dan darurat,” katanya memetik laporan BERNAMA.

Mengulas lanjut, masyarakat perlu patuh dengan arahan yang dikeluarkan kerajaan dalam tempoh darurat demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk Kampung Pauh Lima, Kota Bharu yang sanggup menunaikan solat dalam keadaan gelap tanpa mengikut penjarakan fizikal di sebuah surau sewaktu pelaksanaan PKP. —AlHijrah Online

Leave a Reply