SOLAT BERJEMAAH DALAM GELAP: POLIS PANGGIL DUA LAGI SAKSI JEMAAH SURAU

KOTA BHARU: Polis memanggil dua lagi saksi daripada lebih 10 individu yang menunaikan solat berjemaah dalam keadaan gelap dan tiada penjarakan fizikal, di sebuah surau di Kampung Pauh Lima, di sini, sepanjang bulan Ramadan lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abdul Rahim berkata, saksi yang terlibat berusia dalam lingkungan 50 dan 60 tahun dipanggil selepas mereka tamat menjalani tempoh kuarantin selepas disyaki positif COVID-19.

“Mereka mengaku menjalankan aktiviti keagamaan termasuk menunaikan solat jemaah sepanjang bulan Ramadan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa penjarakan fizikal selain turut menutup lampu surau.

“Kebanyakan mereka yang sudah dipanggil berumur lingkungan 60-an yang terdiri daripada pesara manakala mereka yang lain belum tampil memberi keterangan kerana sedang menjalani tempoh kuarantin,” katanya.

Abdul Rahim berkata sebelum ini seramai enam saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan susulan kejadian yang mencetuskan Kluster Pauh Lima.

Siasatan masih diteruskan bagi mengambil keterangan daripada jemaah lain yang terdiri daripada penduduk tempatan di sekitar Kampung Pauh Lima.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342).

“Kita juga akan menjalankan siasatan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat beberapa penduduk Kampung Pauh Lima melanggar SOP semasa menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah dalam gelap untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.—AlHijrah Online

Leave a Reply