JENAZAH LIMA BERANAK SELAMAT DIKEBUMI DALAM SATU LIANG LAHAD

Sumber Gambar: BERNAMA

PADANG RENGAS: Jenazah lima beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, Pahang semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Labu Kubong malam tadi.

Terdahulu dengan diiiring kereta peronda polis, tiga van polis membawa semua jenazah ke rumah keluarga mereka di Kampung Labu Kubong dekat Lubuk Merbau di sini sebelum disembahyangkan serta diberi penghormatan terakhir oleh kira-kira 300 ahli keluarga dan kenalan.

Jenazah kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan kira-kira 500 meter dari rumah keluarga mereka untuk disemadikan sekitar pukul 10 malam dalam suasana pilu serta penuh hiba, dan hujan renyai.

Kelima-lima mereka, Muhammad Rosli Ibrahim 33, bersama isterinya Nor Afiqah Abdullah Sani, 35, dan anak mereka Nur Safwa Irdina, 7, Nur Sofea Raida, 6, dan bayi lelaki Rizqy Ramadhan berusia setahun bulan maut dalam satu kemalangan kira-kira pukul 3 petang semalam.

Kejadian tragis itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota Corolla dipandu Muhammad Rosli dari arah Muadzam Shah menghala ke Kuantan telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat.–AlHijrah Online

Leave a Reply