JENAZAH SALAHUDDIN SELAMAT TIBA DI TANJUNG PIAI, AKAN DIKEBUMIKAN TENGAH HARI NANTI

JOHOR: Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub tiba di kediaman ibunya pada 3.35 pagi (Isnin) di Kampung Serkat Tanjung Piai hari ini.
Menurut jadual perancangan dikongsikan Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin iaitu Syakirin Husnal, ziarah jenazah di kediaman ibu Allahyarham ditetapkan pada 7 pagi di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai.
Kemudian ziarah jenazah di kediaman Allahyarham pula ditetapkan pada 10 pagi di TL7, Jalan Adil, Serkat dan solat jenazah dijadual pada 11 pagi di Masjid Jamek Dato’ Hj Noh Gadot, Serkat.
Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong, Serkat di Pontian, Johor, pada 12 tengah hari nanti.
Terdahulu, Jenazah Allahyarham tiba di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dekat sini pada kira-kira 2.30 pagi.
Jenazah beliau diiringi isterinya Datin Seri Fatimah Taha serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat antara individu yang dilihat menyambut ketibaan jenazah Allahyarham.
Selepas itu, Allahyarham yang merupakan anak jati Tanjung Piai, akan dibawa ke kediaman beliau di Jalan Adil sebelum ke Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot di Serkat.
Suasana hiba dapat dirasai dengan kehadiran ahli keluarga dan sahabat handai yang mula berkumpul di rumah ibu Allahyarham sejak 12 tengah malam tadi.
Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam tadi setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
Terdahulu, Jenazah Salahuddin Ayub selesai disolatkan di Masjid Al-Badar, Jalan Langgar, di Alor Setar, pada 12.22 tengah malam tadi.
Sebelum itu, van jenazah yang membawa Allahyarham Salahuddin dari Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar tiba di pekarangan masjid pukul 12.15 tengah malam.
Solat jenazah diimamkan oleh imam masjid Abu Bakar Shaikh Abdullah dan disertai kira-kira 100 jemaah.
Selesai solat, van yang membawa jenazah Allahyarham seterusnya bergerak ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) dan jenazah akan diterbangkan ke Johor kira-kira pukul 1 pagi tadi. –AlHijrah Online