JEREBU: UTUS SURAT KEPADA INDONESIA JIKA BUKTI LENGKAP

PUTRAJAYA: Keputusan sama ada Malaysia akan mengutus surat kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo berhubung jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara di negara ini akan diputuskan sebaik pengesahan lanjut diterima.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui laporan Sinar Harian berkata, ketika ini pihaknya masih meneliti dakwaan Indonesia yang menegaskan masalah jerebu berpunca daripada Malaysia.

“Buat masa ini belum lagi. Kita akan lihat kepada bukti yang mengatakan Malaysia jadi punca.

“Jadi, kita kena ada pengesahan sama ada akan utus surat atau tidak,” katanya pada sidang media selepas Program The Putrajaya Boat Race 2019 di Kelab Tasik Putrajaya di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia berhasrat  menghantar surat kepada kerajaan Indonesia berhubung keadaan jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara di negara ini.

Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar sebelum ini dilaporkan mendakwa jerebu yang menyelubungi Malaysia berasal dari Sarawak.

Bagaimanapun tuduhan itu disanggah Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Yeo Bee Yin berdasarkan data Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) yang membuktikan jerebu berasal dari Indonesia bersandarkan titik panas direkodkan di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut meminta orang ramai agar tidak terlalu bimbang dengan keadaan jerebu kerana ia masih lagi terkawal.

“Keadaan jerebu tidak begitu teruk, saya pakai topeng ketika naik kuda (pagi tadi) supaya orang tidak kenal,” katanya. – SINAR HARIAN/ALHIJRAH ONLINE

Leave a Reply