OIC KECAM RANCANGAN NETANYAHU ANNEX LEMBAH JORDAN

JEDDAH: Sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) peringkat menteri luar bermula hari ini dengan agenda utama mengecam kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengenai peluasan wilayah rejim zionis di Tebing Barat, termasuk di Lembah Jordan.

Menteri Luar Palestin, Riad al-Maliki dalam ucapannya di persidangan itu berkata, “Kenyataan Netanyahu akan menghalang usaha keamanan dan mengancam kestabilan dunia dan wilayah serantau”.

Setiausaha Agung OIC, Yousef Al-Othaimeen pula menegaskan “mekanisme khusus harus dikenakan ke atas Israel supaya ia bertanggungjawab di atas keganasan dilakukannya ke atas warga Palestin”.

Menteri Luar Arab Saudi, Ibrahim Abdulaziz Al-Assaf pula menyifatkan rancangan Israe itu sebagai “tidak sah”.

Sekalipun negara Arab berdepan pelbagai cabaran, Al-Assaf berkata, isu Palestin tetap menjadi perjuangan tumpuan bersama.

Selasa lalu, Netanyahu berjanji akan membuat tindakan annex ke atas Lembah Jordan dan utara Laut Mati yang dijajah secara haram oleh rejim zionis sekiranya beliau diberikan mandat pada pilihan raya Israel 17 September ini.

Kenyataan Netanyahu yang gagal membentuk kerajaan selepas pilihan raya Israel pada April lalu sehingga terpaksa mengadakan semula pilihan raya minggu ini, menimbulkan kecaman masyarakat antarabangsa, khususnya negara Islam. – Anadolu Agency/AlHijrah Online

Leave a Reply