JOHOR KESAN DUA KES OMICRON LIBATKAN INDIVIDU PULANG UMRAH

Sumber Gambar: AFP

JOHOR BAHRU: Dua kes varian Omicron dikesan di Johor melibatkan pasangan suami isteri yang pulang dari Arab Saudi bagi mengerjakan ibadah umrah, semalam.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyananthan berkata, pasangan tersebut menunaikan umrah pada 4 Disember dan pulang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Disember lepas.

Katanya, ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) yang dilaksanakan setibanya mereka di pintu masuk antarabangsa mendapati kedua-dua mereka positif COVID-19 pada 18 Disember.

“Sampel PCR sebelum itu dihantar ke Institue Of Medical Research (IMR) bagi menjalani proses jujukan genom.

“Pasangan itu kini sedang menjalani isolasi di rumah mereka di Johor Bahru dan kesemua kontak rapat juga telah dikenalpasti selain diberikan arahan pengasingan dan pemerhatian di rumah,” katanya, hari ini.

Vidyananthan mengingatkan agar rakyat Johor yang pulang dari luar negara untuk mematuhi arahan kuarantin wajib yang diberikan.

“Kegagalan mematuhi arahan terbabit akan menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 49 kes baharu varian Omicron di Malaysia setakat semalam.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, daripada jumlah tersebut 30 daripadanya merupakan kes yang bertolak dari Arab Saudi.—AlHijrah Online

Leave a Reply