Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

JUAL SIJIL VAKSIN PALSU, SAMPAI BILA KEMELUT COVID-19 AKAN BERAKHIR? – SULTAN SELANGOR

DALAM NEGARA

JUAL SIJIL VAKSIN PALSU, SAMPAI BILA KEMELUT COVID-19 AKAN BERAKHIR? – SULTAN SELANGOR

KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj meminta pihak-pihak berkuasa di Selangor menyiasat, menangkap dan mengambil tindakan tegas ke atas pengamal perubatan yang menawar serta menjual sijil digital vaksin COVID-19 palsu kepada orang awam.

Baginda turut menzahirkan rasa dukacita dan sangat prihatin apabila diberitahu berkenaan kegiatan yang tidak bermoral itu.

Dalam kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, baginda terkejut dengan modus operandi (MO) seorang doktor pemilik sebuah klinik di Gombak dan enam orang pembantu klinik, yang tergamak mencemarkan etika kerja perubatan profesional.

Lebih mendukacitakan baginda, ada dalam kalangan pengamal perubatan yang terlibat dengan kegiatan ini adalah berbangsa Melayu dan serta beragama Islam, namun sanggup melakukan perkara keji dan berdosa itu demi memperoleh kekayaan segera.

“Menerusi siasatan awal, selain daripada memalsukan sijil vaksin COVID-19 menerusi sistem aplikasi MySejahtera, individu terlibat turut memberikan suntikan kosong dengan membuang cecair vaksin COVID-19 yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan kepada 5,601 pelanggan yang terdiri daripada golongan antivaksin.

“Jika didapati bersalah, mereka (yang terlibat) ini harus dijatuhi hukuman paling berat,” titah baginda, hari ini.

Dalam masa yang sama, baginda amat kecewa dengan perkembangan terbaharu ini yang boleh menjejaskan usaha kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menghentikan penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

Sultan Selangor turut mempersoalkan dengan tegas, sekiranya kegiatan sebegini terus berleluasa ditambah pula dengan kedegilan golongan antivaksin, bilakah kemelut wabak COVID-19 yang telah membelenggu dunia serta mengorbankan jutaan nyawa sejak dua tahun lalu ini akan berakhir.

“Rakyat di negara ini tidak akan mampu lagi berhadapan krisis kesihatan kesan daripada penularan wabak penyakit seperti COVID-19, yang telah melumpuhkan ekonomi dan menjejaskan kehidupan harian.

“Baginda berharap tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi semata-mata tanpa mempedulikan kesan buruk yang boleh berlaku terhadap masyarakat khususnya apabila membabitkan hal ehwal kesihatan awam,” titah baginda.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading