TRELER TERBABAS PUNCA LEBUHRAYA SESAK LEBIH 40KM

Sumber Gambar: PDRM

KAMPAR: Kesesakan jalan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) lebih 40 kilometer (km) berpunca daripada kejadian treler terbabas, di Kilometer 302.4 arah Utara dari Tapah ke Gopeng di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Mohamad Nazri Daud berkata, susulan kejadian tersebut berlaku, anggota peronda yang menjalankan tugas rondaan menerima satu panggilan pada jam 8.54 pagi tadi.

“Sebaik tiba di lokasi didapati kemalangan membabitkan treler dan lori, yang berpunca daripada treler terbabas di lorong kanan dan dalam masa yang sama lori bergesel dengan treler terbabit,” katanya.

Nazri berkata, hanya lorong kanan ditutup manakala lorong kiri dan lorong kecemasan dibuka untuk laluan.

“Laluan dari lokasi kemalangan menjadi sesak sejauh kira-kira 40 km dan banyak kenderaan awam masuk Tapah dan lalu jalan lama.

“Treler terbabit sangkut di pembahagi jalan tengah, dijangka satu hingga dua jam lagi akan dialihkan,” katanya.

Kejadian tersebut turut mengakibatkan pemandu treler tersebut cedera ringan, namun telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini bagi menerima rawatan.

Katanya, beberapa jentera yang akan digunakan untuk mengalihkan treler sudah sampai di lokasi dan treler kini dalam proses pengalihan.–AlHijrah Online

Leave a Reply