KANAK-KANAK AUTISME HILANG DITEMUI LEMAS DI SUNGAI

KUCHING: Seorang kanak-kanak autisme berusia tujuh tahun yang disedari hilang di Kampung Bunga Rampai, Jalan Batu Kitang di sini, semalam, ditemukan lemas di sungai kampung itu hari ini.

Mayat Andrine Johnnes ak Anne ditemukan terapung di sungai terbabit oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 12.15 tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengesahkan penemuan itu selepas pihaknya bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengesan satu objek mencurigakan dalam keadaan timbul tenggelam di permukaan sungai.

“Apabila dihampiri, objek terbabit disahkan mayat kanak-kanak yang masih berpakaian sebelum disahkan sebagai mangsa yang hilang oleh keluarga,” katanya selain memaklumkan mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Semalam, mangsa disedari hilang dari rumahnya dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang sebelum laporan dibuat jam 9.13 malam dan SAR digerakkan.

Difahamkan mangsa selama ini tidak dibenarkan keluar dari rumah, namun kemungkinan besar keluar melalui pintu belakang yang menghadap kawasan hutan berdekatan.—AlHijrah Online

Leave a Reply