KANAK-KANAK DARI BANGLADESH DITEMUKAN DALAM KONTENA DI PELABUHAN KLANG

SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak lelaki warga asing ditemukan di dalam sebuah kontena di dermaga Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Selasa lepas, dipercayai terkunci selama enam hari di dalam kontena tersebut yang berasal dari Chittagong, Bangladesh.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki warga tempatan yang bekerja di bahagian operasi perkapalan yang mendakwa menemukan kanak-kanak berkenaan sekitar jam 9 malam. 

“Semasa menguruskan kapal masuk di dermaga Pelabuhan Barat serta pemeriksaan sebuah kontena kosong, lelaki itu mendapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki warga asing berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya,” katanya.

Beliau berkata mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan disahkan dalam keadaan stabil.

Menurutnya semakan ke atas mangsa mendapati tiada sebarang identiti pengenalan diri dan laporan polis dibuat untuk siasatan lanjut.

“Siasatan yang dijalankan mendapati sebuah kapal MV. Integra telah bertolak dari Chittagong pada 12 Jan dengan membawa kontena yang mengandungi muatan barangan am dan tiba di Pelabuhan Barat pada Selasa lalu,” katanya.

Cha berkata berdasarkan keterangan daripada mangsa, kanak-kanak itu menjelaskan semasa bermain bersama kawan di Chittagong, beliau telah masuk ke dalam kontena dan terkunci sehingga ditemukan oleh pihak pengadu di Pelabuhan Barat.

“Tiada sebarang unsur jenayah yang berlaku di dalam kejadian ini dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai rujuk lain agensi (RLA) iaitu dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk menguruskan dokumen mangsa serta penghantaran pulang dengan mengunakan kapal kargo yang sama,” katanya.

Video berdurasi satu minit mengenai penemuan kanak-kanak itu turut tular malam tadi di media sosial.–AlHijrah Online

Leave a Reply