IPOH: Kematian seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang mayatnya ditemui di kawasan berpaya di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di Sungai Siput, semalam, dipercayai dibunuh dan dirogol
Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, keputusan hasil bedah siasat yang selesai dijalankan jam 4 petang tadi ke atas mayat mangsa, Nuraina Humaira Rosli, 10, mendapati terdapat kecederaan akibat tekanan di bahagian leher serta kesan koyakan di kemaluan mangsa.
Katanya, kes tersebut yang pada awalnya diklasifikasikan mati mengejut (SDR) telah diklasifikasikan semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kerana membunuh.
“Susulan itu seorang lelaki berusia 27 tahun yang mempunyai pertalian darah dengan mangsa ditahan polis sekitar jam 5.30 petang tadi bagi membantu siasatan,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Terdahulu, seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas ditemui meninggal dunia di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di Sungai Siput, semalam.
Mangsa sebelum itu dilapor tidak pulang ke rumah sejak Jumaat petang.
Mohd Khaizam berkata mayat kanak-kanak terbabit ditemukan sekitar 4.20 petang semalam selepas pencarian dilakukan oleh kira-kira 60 orang melibatkan polis, bomba dan orang kampung dengan khidmat anjing pengesan (K9) milik Polis Diraja Malaysia sejak 7 pagi.—AlHijrah Online