KANCIL TERBAKAR DIPERCAYAI ADA KAITAN AKTIVITI SELUDUP MINYAK

RANTAU PANJANG: Polis menemui tong plastik dalam kereta Perodua Kancil yang terbakar di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, hasil siasatan awal pihaknya mengesyaki tong plastik itu digunakan bagi mengisi minyak dan bertujuan untuk diseludup ke Thailand.

ARTIKEL BERKAITAN – KERETA KANCIL TERBAKAR SEMASA ISI MINYAK

Katanya, saksi kejadian mendakwa terlihat api menyala dari bawah kereta semasa seorang lelaki dipercayai pemandu kereta berkenaan sedang mengisi minyak di salah satu pam stesen minyak tersebut.

“Api kemudiannya merebak ke bahagian belakang kereta dan lelaki terbabit terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau saksi memaklumkan tiada unsur khianat yang menyebabkan kebakaran tersebut.

Menurut Nasaruddun, pihak polis sudah mengenal pasti pemandu serta pemilik kereta berkenaan dan usaha mengesan individu terlibat sedang giat dijalankan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Terdahulu, sebuah kereta jenis Perodua Kancil dilapor terbakar secara tiba-tiba ketika sedang diisi minyak di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira 8.35 pagi itu.

Kejadian berkenaan menyebabkan kereta Kancil berkenaan terbakar 50 peratus sementara satu pam minyak musnah sepenuhnya.–AlHijrah Online

Leave a Reply