KEDAI KEK ADA SIJIL HALAL BOLEH PENUHI TEMPAHAN DENGAN UCAPAN PERAYAAN – JAKIM

Gambar hiasan
Imej: Twitter

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini memperjelas isu yang tular berkaitan kononnya wujud larangan kepada pengusaha perniagaan bakeri untuk tidak mengambil tempahan kek yang ingin menyertakan ucapan perayaan di atasnya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Abdul Aziz Jusoh dalam satu kenyataan media berkata, agensi berkenaan mengesahkan tiada peruntukan mengenai isu perayaan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.

“Ucapan perayaan dibenarkan pada produk jika dibuat bukan dengan tujuan untuk dipamerkan.”

Abdul Aziz Jusoh
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JAKIM

Malah Abdul Aziz berkata, manual berkenaan dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) hanya terpakai untuk para pemohon dan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap artikel isu ucapan ‘Merry Christmas’ yang tular setelah dilapor portal berita tempatan semalam.

Laporan itu menyebut ada pemilik kedai bakeri mendakwa kononnya tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan Kristian yang meminta ditulis ‘Merry Christmas’ pada kek yang ditempah.

Pemilik kedai bakeri dilapor memberi alasan ia sebahagian daripada peraturan yang ditetapkan oleh JAKIM sebagai salah satu syarat permohonan bagi mendapatkan sijil halal daripada agensi tersebut.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Albakri turut memperjelas isu berkenaan di laman Twitternya.

Tangkap layar ciapan Twitter Dr Zulkifli berkait isu yang timbul

Dr. Zulkifli menyangkal dakwaan kononnya ucapan perayaan pada produk jualan akan membatalkan sijil halal premis tersebut.

Malah beliau menjelaskan pemegang sijil boleh memenuhi tempahan pembeli tanpa sebarang masalah.

“Ringkasnya, jika kedai berkenaan ada sijil halal dikeluarkan oleh JAKIM dan buat kek dengan ucapan perayaan agama tertentu untuk tujuan pameran di dalam premis, itu tidak dibenarkan.

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Albakri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama)

“Tetapi jika kedai itu pula hanya menyediakan kek yang ditempah beli oleh pelanggannya dan ada ucapan perayaan agamanya pada kek tersebut, ia adalah dibenarkan,” jelas Zulkifli.

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Albakri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama)

Beliau mengakui wujud salah faham dalam isu berkenaan namun berharap dengan penjelasannya itu, ia mampu meleraikan isu yang timbul itu. – AlHijrah Online

Leave a Reply