KEJAR LAILATULQADAR, BUKAN BERBALAH TARIKH 1 SYAWAL

ALOR SETAR: Tempoh 10 malam terakhir Ramadan perlu digunakan umat Islam untuk fokus mengejar malam Lailatulqadar bukannya berdebat atau berbalah berhubung tarikh 1 Syawal.
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, umat Islam juga dinasihat berhenti menyebarkan khabar angin dan menunggu tarikh sebenar yang akan diumum selepas proses cerapan dilaksanakan.
“Jangan berbalah atau sebar mengenai spekulasi 1 Syawal sehingga merujuk kepada Pusat Astronomi Antarabangsa bahawa 1 Syawal akan jatuh pada hari Jumaat.
“Kita mempunyai 29 stesen cerapan untuk melihat anak bulan di seluruh Malaysia yang akan menentukan perkara ini.
“Berdasarkan perbincangan dengan semua sahabat-sahabat kita yang terbabit bahawa pada malam Jumaat (tarikh lihat anak bulan) itu kemungkinan untuk dapat lihat anak bulan sangat tipis dan tidak mencukupi kriteria yang diputuskan.
“Walau apa pun keputusannya akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada malam itu setelah menerima laporan hasil cerapan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini juga mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang andaian mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Agensi agama itu turut memaklumkan bahawa pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun bagi negara Malaysia dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi setelah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong yang mewakili Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Tarikh melihat anak bulan Syawal telah ditetapkan pada petang Khamis, 20 April 2023. – AlHijrah Online