KEPUTUSAN UJIAN SARINGAN COVID-19 KE ATAS WARGA AMERIKA SYARIKAT KEKAL – DR WAN AZIZAH

PUTRAJAYA: 16 Feb — : Kementerian Kesihatan telah menjalankan ujian ulangan COVID-19 ke atas pasangan suami isteri warga Amerika Syarikat yang merupakan penumpang Kapal Persiaran Westerdam, dan menerima keputusan sama.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ujian ulangan COVID-19 itu dijalankan ke atas mereka lewat malam tadi dan keputusan sama diperolehi iaitu positif bagi isteri dan negatif bagi suami beliau.

“Hasil ujian pengesanan COVID-19 pada 15 Feb lepas mendapati isterinya, 83 tahun adalah positif. Pesakit mengalami gejala batuk tetapi tiada demam atau sesak nafas, dan dapatan X-ray beliau menunjukkan tanda radang paru-paru.

“Manakala ujian ke atas suaminya didapati negatif COVID-19. Namun beliau kini menerima rawatan bagi jangkitan bakteria yang dialami,” katanya pada sidang media perkembangan terkini jangkitan COVID-19, di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata pasangan suami isteri itu merupakan antara 145 penumpang penerbangan sewa khas Malaysia Airlines MH8763 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sihanoukville, Kemboja yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7 petang, Jumaat.

Kesemua 145 penumpang itu telah menjalani saringan kesihatan dan didapati pasangan suami isteri itu dikesan bergejala melalui pemeriksaan pengimbas terma dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan selanjutnya.

Wanita itu kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad isolasi Hospital Sungai Buloh, katanya.

Kapal persiaran itu telah berlabuh di Hong Kong sehari sebelum memulakan pelayaran East Asia Cruise selama 14 hari pada 1 Feb, bagaimanapun Jepun, Filipina, dan Thailand melarang kapal itu daripada berlabuh di pelabuhan-pelabuhan mereka selepas beberapa orang penumpang sebuah lagi kapal persiaran Diamond Princess yang di berlabuh di Jepun didapati positif bagi COVID-19.

“Kapal persiaran ini seterusnya tidak dibenarkan berlabuh di beberapa negara sebelum menerima kebenaran untuk berlabuh di Sihanoukville, Kemboja pada 13 Feb.

“Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur telah menyewa pesawat khas Malaysia Airlines bagi membawa sebahagian penumpang kapal persiaran daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Sihanoukville ke pelbagai destinasi akhir penumpang melalui KLIA,” katanya.

Mengikut perancangan, beliau berkata pihak MAS akan menyediakan empat penerbangan pesawat sewa khas bermula 14 Feb sehingga 16 Feb, namun setelah dimaklumkan KKM mengenai kes positif itu, MAS telah membatalkan baki penerbangan sewa khas yang lain.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (NADMA) berkata daripada 143 penumpang yang melepasi saringan dan tidak bergejala, 137 orang telah meneruskan perjalanan manakala baki enam orang masih menunggu penerbangan sambungan ke destinasi masing-masing.

“Enam penumpang itu akan menjalani ujian pengesanan COVID-19 dan sekiranya ujian itu disahkan negatif, mereka akan dibenar meneruskan perjalanan dan jika positif mereka akan dibawa ke hospital bagi pemantauan kesihatan seterusnya,” katanya. 

Beliau menjelaskan aktiviti pengesanan kontak rapat telah dilaksanakan serta merta dengan melibatkan komunikasi di peringkat Malaysia International Health Regulations (IHR) Focal Point dengan National IHR Focal Point dari negara lain yang terlibat.

Maklumat ringkas mengenai setiap penumpang yang terlibat disalurkan kepada National IHR Focal Point bagi digunakan oleh Kementerian Kesihatan negara terlibat untuk menyusuli dan menjejaki penumpang terbabit sebaik mereka tiba di destinasi. — BERNAMA

Leave a Reply