KERAJAAN AKUI WUJUD KELOMPONGAN UNDANG-UNDANG ISU PENCEMARAN

ALOR SETAR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengakui wujud kelompongan undang-undang untuk membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pengilang yang menyebabkan pencemaran ekosistem alam.

Atas faktor itu, Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya akan mengkaji dan mencadangkan agar satu usul menggubal undang-undang lebih tegas dapat diambil terhadap pengilang mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Menurut Zuraida ketika ini hanya Kementerian Alam Sekitar dan Air yang mempuyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pengilang yang melakukan pencemaran.

Manakala KPKT hanya mengeluarkan lesen dan mengutip cukai kepada premis perniagaan dan pengilang.

“KPKT maklum tentang kelompongan sedikit dari segi undang-undang.

“Kita memang dalam persediaan untuk menggubal undang-undang untuk mengukuhkan penguatkuasaan yang lebih berat kepada pesalah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata perkara itu perlu diketengahkan berikutan isu pencemaran sungai dari kilang-kilang sering berulang di Selangor.

Oleh itu katanya kerajaan negeri mesti mengambil serius untuk menangani permasalahan tersebut.

Sejak Khamis lalu hingga semalam, sebanyak 1,292 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan air berikutan pencemaran bau di Sungai Selangor hingga mengakibatkan empat loji rawatan air tidak dapat beroperasi.– AlHijrah Online

Leave a Reply