KERAJAAN BINA DUA POS KAWALAN BAHARU DI SEMPADAN MALAYSIA-THAILAND

ARAU: Kerajaan akan membina dua pos kawalan baharu di sempadan antara Malaysia dan Thailand bagi memastikan keselamatan negara terjamin dan mengawal kegiatan jenayah rentas sempadan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dua pos berkenaan akan dibina di kawasan tanggungjawab Markas 2 Divisyen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kedah.
Tambahnya kerajaan akan menambah kelengkapan baharu bagi kegunaan ATM termasuk penggunaan peralatan pemantauan teknologi tinggi seperti dron di kawasan sempadan.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, National Task Force (NTF) yang diketuai ATM telah berbincang bagi melihat sejauh mana keberkesanan Op Benteng yang sedang dilakukan pasukan keselamatan ketika ini.
“Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang sudah berjumpa agensi yang mengawal kawasan sempadan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Kastam.
“Kita mencari penyelesaian secara menyeluruh,” katanya.
Bulan lalu, dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) diserang penyeludup di kawasan sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Padang Besar, menyebabkan seorang anggota PGA terkorban, pada 24 November lalu.—AlHijrah Online