KERAJAAN PERPADUAN CETUSAN KEBIJAKSANAAN AGONG BERJAYA WUJUD KESTABILAN POLITIK – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersembahkan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda di Istana Negara hari ini. – Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan yang lahir daripada cetusan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berjaya mempertaut kesatuan permuafakatan, dan selanjutnya mewujudkan kestabilan politik negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu memberi ruang ke arah pertumbuhan ekonomi negara, keyakinan pelabur domestik dan luar negara serta mengatur tatakelola pemerintahan yang mampan dan wajar menjamin kesejahteraan dan keselesaan rakyat.

“Berbekalkan tekad dan semangat “Membangun Malaysia MADANI”, Kerajaan Perpaduan beriltizam untuk berusaha dengan tekun memacu pertumbuhan dan mempertahankan keadilan dan nilai murni manusiawi.

“Belanjawan Malaysia MADANI 2023 telah diluluskan sebulat suara pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas lalu. Maka, bertambah ampuh tekad ke arah pelaksanaan 3 Tekad dan 12 Ikhtiar Utama Belanjawan MADANI terutama dalam bidang keterjaminan makanan, ekonomi digital, peranan IKS dan menoktah kemiskinan tegar,” kata Anwar ketika berucap di Istiadat Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Tambah Anwar, kebijakan ekonomi yang direncanakan oleh jemaah menteri, penjawat awam dan sektor swasta melonjak pertumbuhan ke 5.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan jumlah pelaburan RM71.4 bilion berjaya diperoleh pada suku pertama 2023.

Selain usaha pemulihan ekonomi, Kerajaan Perpaduan sedang menumpukan usaha untuk menangani isu kos sara hidup, kenaikan harga barang selain memastikan keterjaminan makanan yang kini menjadi fenomena di seluruh dunia. – AlHijrah Online

Leave a Reply