KERAJAAN SUKAR TAMPUNG KEPERLUAN JIKA KES SEMAKIN MENINGKAT

KOTA BHARU: Kerajaan mengakui sukar untuk menampung keperluan pesakit di hospital sekiranya kes positif COVID-19 mencecah lebih 5,000 kes sehari.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan berusaha sedaya upaya untuk mengelak kes meningkat sehingga ke tahap itu.

“Ada kebimbangan dari segi katil, takut tidak mencukupi, setakat hari ini boleh kita tampung lagi walaupun kes dah mencecah 2,000 atau 3,000 lebih.

“Tapi kalau 5,000 atau 8,000 sehari memang agak sukar untuk tampung keperluan tersebut walaupun kita belum sampai ke tahap itu”, katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan barang bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan di Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu, siang tadi.

Beliau menyeru agar semua dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak tersebut bagi membantu kerajaan untuk memastikan penularan pandemik itu dapat diputuskan.

“Kalau semua rakyat bekerjasama untuk membantu kerajaan dengan mematuhi setiap SOP yang dikeluarkan, Insyaallah kita mampu untuk melandaikan dari segi graf jangkitan COVID-19,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri turut mengingatkan masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan sebarang khabar angin di media sosial kononnya terdapat sekatan jalan raya yang dilakukan pihak polis mulai malam tadi.

Menurutnya, sebelum sebarang keputusan dibuat kerajaan akan mengambil kira semua aspek dari segi kesihatan dan pada masa sama keperluan ekonomi rakyat.—AlHijrah Online

Leave a Reply