SCAM POLIGAMI: IKUT PROSEDUR YANG DITETAPKAN JABATAN AGAMA

ALOR SETAR: Umat Islam yang berhasrat untuk berpoligami dinasihatkan tidak menggunakan khidmat sindiket scam bagi mengelak masalah lain di kemudian hari.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang, berkata perkahwinan haruslah dilakukan mengikut prosedur Jabatan Agama dan Mahkamah Syariah bagi memudahkan pasangan terutama dalam proses mendaftar kelahiran anak.

Jelas beliau, perkahwinan yang dilakukan secara scam semestinya terdapat unsur penipuan dan ianya akan mendatangkan masalah kepada pasangan, keluarga serta anak mereka kemudian hari.

Katanya, poligami secara sah akan memudahkan anak untuk mendapat pendidikan serta layak mendapat kemudahan lain sebagai warganegara Malaysia.

“Perkahwinan yang dilakukan melalui scam ini, sudah tentu ada unsur penipuan yang boleh kita kata tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.

“Sudah tentu akan menyusahkan keluarga itu sendiri terutama anak mereka, jadi kita nasihat kalau sekiranya berminat untuk berpoligami , ikutlah prosedur sebagaimana yang telah ditetapkan,” katanya semasa ditemui ketika pelancaran misi bantuan banjir Lembaga Zakat Negeri Kedah di perkarangan Stadium Darul Aman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai scam poligami atau penipuan dalam urusan dokumentasi poligami membabitkan sindiket yang meminta bayaran ribuan ringgit.

Sementara itu menurut Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Syeikh Ahmad Faizol Omar, sindiket itu menjadikan aktiviti penipuan mereka sebagai sumber pendapatan dan sentiasa mencari mangsa untuk mengaut keuntungan sehingga RM8,000 bagi setiap pasangan.

Katanya, mereka akan memalsukan sijil nikah dan ia akan dikesan apabila pasangan mahu mendaftarkan kelahiran anak berikutan terdapat beberapa ciri sijil yang berbeza daripada Pejabat Agama.—AlHijrah Online

Leave a Reply