Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

KES PENIPUAN HAJI: SULTAN SELANGOR TITAH TINDAKAN TEGAS DIAMBIL SEGERA

DALAM NEGARA

KES PENIPUAN HAJI: SULTAN SELANGOR TITAH TINDAKAN TEGAS DIAMBIL SEGERA

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kemurkaan dan kebimbangan terhadap peningkatan kes penipuan haji melibatkan umat Islam di Malaysia.

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kemurkaan dan kebimbangan terhadap peningkatan kes penipuan haji melibatkan umat Islam di Malaysia.

Baginda bertitah agar mana-mana individu atau syarikat pelancongan yang menawarkan pakej haji dengan tujuan penipuan diambil tindakan tegas oleh polis dan pihak berkuasa.

“Kejadian penipuan itu amat mengecewakan kerana terdapat jemaah haji yang sanggup berkorban mencari wang dengan menjual aset atau tanah dan berusaha keras bagi menunaikan rukun Islam kelima berkenaan.

“Namun, mereka akhirnya menjadi mangsa penipuan pihak yang tidak bertanggungjawab dan segala hasrat untuk sampai ke tanah suci mengerjakan ibadah haji musnah begitu sahaja.

“Lebih menyedihkan apabila pihak yang mengeksploitasi ini adalah dari kalangan umat Islam sendiri yang tergamak menipu saudara seagama demi kepentingan peribadi,” titah baginda dalam kenyataan disiarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Sementara itu, Pengerusi MAIS, Senator Datuk Setia Haji Salehuddin Saidin menggesa agar mangsa penipuan segera membuat laporan polis agar tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak yang terlibat.

Beliau menyarankan umat Islam agar menyemak latar belakang penyedia perkhidmatan ibadah haji tersebut serta mendapatkan maklumat melalui semakan senarai Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen di laman rasmi Lembaga Tabung Haji (LTH).

Tambahnya, umat Islam disarankan berhati-hati terhadap tawaran pakej haji yang terlalu murah atau percuma kerana katanya ia merupakan modus operandi penipuan dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, media melaporkan kes penipuan melibatkan lebih 80 bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah haji.

Kes berkenaan berpunca daripada pakej haji yang disyaki ditawarkan oleh sindiket tidak bertanggungjawab. —AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading