KKM TIDAK MAMPU TAMPUNG PENINGKATAN SEHINGGA 2000 KES BARU SETIAP HARI – PM

KUALA LUMPUR: Fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini tidak lagi mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, sistem kesihatan negara kini berdepan dengan keadaan genting.

“Saya ingin jelaskan realiti situasi sistem kesihatan yang sedang kita hadapi sekarang.

“15 buah hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.

“Di Lembah Klang kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan di Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus manakala di Hospital Sungai Buloh pula telah mencapai 83 peratus,” katanya dalam Perutusan Khas Pelaksanaan PKP hari ini.

Muhyiddin berkata kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di lima buah negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak juga telah melebihi 70 peratus.

Tambahnya ketika ini terdapat lebih dari 1,450 orang anggota perubatan di hospital seluruh negara yang telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.

“Jumlah kematian akibat COVID-19 pula terus meningkat kepada 521 kes dengan kadar kematian sebanyak 0.41 peratus.

“Malaysia mencatatkan lebih 100 kes kematian sebulan bagi bulan Oktober hingga Disember 2020 berbanding dua hingga 59 kes kematian sebulan bagi bulan Mac hingga September 2020,” katanya.

Selain itu ujarnya pertambahan kes harian yang tinggi menyebabkan kelewatan petugas kesihatan untuk mengambil para pesakit di rumah untuk dibawa ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah COVID-19 (PKRC).

Katanya bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga menyukarkan proses mobilisasi anggota di dalam negeri dan juga di antara negeri.

Situasi itu kata Muhyiddin menyukarkan usaha menambah bilangan katil ICU untuk pesakit kritikal. — AlHijrah Online

Leave a Reply