KONTRAKTOR LADANG SAWIT RUGI RM99,855 DITIPU TAWARAN KERJA

JEMPOL: Seorang kontraktor ladang sawit kerugian RM99,855 selepas ditipu tawaran kerja menerusi Facebook, pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata lelaki berusia 21 tahun dari Bahau itu, pada mulanya melayari laman Facebook sebuah syarikat dan menghubungi nombor telefon yang tertera melalui aplikasi Whatsapp.

Katanya, mangsa kemudian ditawarkan menyertai syarikat terbabit dan diberitahu akan mendapat pendapatan lumayan.

“Mangsa diberi satu pautan laman web dan diminta memuatnaik aplikasi Amazon Go dengan diberikan nama pengguna dan kata laluan.

“Kerja yang dimaklumkan kepada mangsa adalah membeli barang yang ada diiklankan di dalam aplikasi berkenaan dan membuat bayaran ke ejen perkhidmatan pelanggan melalui talian Whatsapp, 01121783776,” katanya.

Jelasnya, setiap barangan yang dibeli perlu berurusan dengan ejen perkhidmatan pelanggan tersebut dan bayaran dilakukan ke akaun-akaun yang telah dinyatakan oleh ejen berkenaan.

Chang Hook berkata, mangsa akan menerima mata ganjaran setiap kali membuat pembayaran dan mata ganjaran boleh dilihat di dalam aplikasi yang dimuat naik mangsa.

Katanya, mangsa membuat 60 kali pembelian dan dimaklumkan akan menerima RM147,433 yang akan dimasukkan kedalam akaun bank mangsa.

“Mangsa membuat sebanyak 24 transaksi pembelian dari 6 November hingga 8 November lalu melalui tiga akaun bank berbeza.

“Dia menyedari menjadi mangsa penipuan selepas diminta membuat pembayaran RM20,000 bagi proses mendapatkan jumlah wang yang bakal diterimanya,” katanya.

Mangsa turut meminjam RM25,000 daripada kakaknya bagi membuat pembelian barang namun tidak menerima apa-apa pulangan dari pembelian tersebut.

Chang Hook berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bahau, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Semakan polis mendapati akaun digunakan suspek sudah mempunyai rekod penipuan tawaran kerja dalam talian,” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply