PENGANGGUR BERDEPAN HUKUMAN MATI BUNUH TEMAN WANITA

TAIPING: Seorang penganggur berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Khairul Nizam Ibrahim, 34 tahun yang juga orang pengawasan polis (OPP) sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurfarah Syahidah Mohd Noh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Norfahizatul Syahira Sopa, 32 tahun di sebuah bilik di Jalan Taman Mawar, Simpang pada pukul 2 petang, 4 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 20 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Polis sebelum ini menahan Mohd Khairul Nizam di Simpang, Taiping pada 29 Oktober lalu berikutan penemuan mayat wanita yang telah reput di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang.

Mayat wanita itu ditemukan oleh seorang pemandu lori setelah menjumpai tulang disyaki kaki manusia dalam keadaan tidak sempurna dan reput.

Turut dijumpai dalam bungkusan kain yang ditanam ialah rangka tulang dipercayai badan manusia dari bahagian kepala hingga pinggang dalam keadaan reput sepenuhnya.

Mangsa dianggarkan mati dalam tempoh antara dua atau empat minggu.

Berdasarkan soal siasat, lelaki itu mengaku bergaduh dengan mangsa yang juga teman wanitanya di sebuah rumah sebelum memukul wanita itu sehingga mati. –AlHijrah Online

Leave a Reply