TIDAK PERLU RISAU PENINGKATAN KES POSITIF COVID-19 SUSULAN AKTIVITI CUTI UMUM – PAKAR KESIHATAN

Sumber Gambar: AFP

KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak perlu risau dengan peningkatan kes jangkitan COVID-19 kerana ia masih di dalam lingkungan jangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Rafdzah Ahmad Zaki berkata, kenaikan kes yang berlaku berpunca daripada aktiviti sosial dan rentas negeri sempena cuti umum.

“Secara keseluruhan, trend masih lagi menurun, cuma dalam beberapa hari ini terdapat sedikit peningkatan. Peingkatan yang berlaku berkait dengan cuti umum pada minggu lepas.

“Penularan COVID-19 dalam komuniti juga masih tinggi, dan apabila aktiviti luaran meningkat, jumlah kes juga dijangka akan meningkat,” katanya.

Bagaimanapun, Rafdzah percaya angka jangkitan harian COVID-19 boleh menurun semula dalam masa terdekat sekiranya jumlah kadar vaksinasi semakin meningkat di samping tiada kemunculan varian baharu dalam negara.

Beliau juga menolak dakwaan sesetengah pihak yang menjangkakan Malaysia akan mengenakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tidak benar.

Rafdzah menasihati agar orang ramai untuk mengehadkan aktiviti luar serta tidak pergi ke tempat pelancongan yang sesak bagi memastikan kes COVID-19 terkawal dan menurun.

Jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan sehingga 11 November adalah sebanyak 6,323 kes sekali gus menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,528,821 kes.–AlHijrah Online / Hanisa Hasanuddin

Leave a Reply