HARIMAU MALAYA KURANG 200 EKOR, DIJANGKA PUPUS DALAM 10 TAHUN

KUALA LUMPUR: Jumlah spesis Harimau Malaya dalam negara ketika ini dianggarkan kurang dari 200 ekor.

Haiwan yang turut dikenali sebagai harimau belang itu dijangka pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun jika tiada tindakan drastik diambil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, data menunjukkan populasi Harimau Malaya berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

“Jemaah Menteri pada 16 Jun lalu bersetuju dengan sembilan tindakan strategik konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun bermula tahun 2021 hingga 2030 melalui tiga pendekatan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan itu bagi mewakili Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dijangkiti COVID-19.

Antara usaha yang dilakukan kerajaan untuk mengatasi kepupusan Harimau Malaya ialah mengukuhkan rondaan penguatkuasaan, meningkatkan tadbir urus baik dan keberkesanan dalam melaksanakan konservasi Harimau Malaya, serta memperkasakan inisiatif bagi memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya melalui penyediaan instrumen kewangan inovatif dan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.

Selain itu beliau berkata kerajaan juga telah melanjutkan moratorium larangan memburu rusa dan kijang yang tamat bulan ini kerana ia merupakan sumber makanan utama Harimau Malaya. – AlHijrah Online

Leave a Reply