Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

KUMPULAN MUSLIM AS KECAM SERANGAN BAHARU ISRAEL KE ATAS GAZA

DUNIA

KUMPULAN MUSLIM AS KECAM SERANGAN BAHARU ISRAEL KE ATAS GAZA

Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) pada Isnin mengecam serangan terbaharu Israel ke atas Gaza yang telah meragut sekurang-kurangnya 200 nyawa.

Gambar FAIL

WASHINGTON: Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) pada Isnin mengecam serangan terbaharu Israel ke atas Gaza yang telah meragut sekurang-kurangnya 200 nyawa, lapor Anadolu Ajansi.  

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya kerajaan sayap kanan yang diketuai penjenayah perang Benjamin Netanyahu kerana meneruskan serangan kejam dan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza, membunuh ratusan orang awam dalam beberapa jam sahaja,” menurut CAIR dalam satu kenyataan.  

Menurut kumpulan itu, Netanyahu lebih mementingkan kedudukan dalam Kabinet daripada mencapai gencatan senjata, dengan memilih untuk menyerang kem pelarian Palestin daripada menerima pertukaran tahanan dan menamatkan peperangan yang diusahakan Presiden AS Donald Trump.  

“Genosid ini mesti dihentikan secara kekal, sekatan ke atas Gaza perlu dimansuhkan, semua tahanan dan banduan politik antara kedua-dua pihak harus dibebaskan, dan satu proses damai sebenar yang berakhir dengan kebebasan serta maruah manusia untuk rakyat Palestin mesti dimulakan,” menurut CAIR.  

Menurut media tempatan, sekurang-kurangnya 200 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak maut dalam serangan terbaharu itu.

Pejabat Perdana Menteri Israel mengesahkan bahawa Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel Katz telah mengarahkan tentera untuk mengambil “tindakan tegas” terhadap Hamas di Gaza.  

Israel menuduh Hamas enggan membebaskan tawanan serta penolakan terhadap semua cadangan daripada Wakil Khas Presiden AS, Steve Witkoff dan para perantara.

Hamas pula menuduh Israel mengisytiharkan perang ke atas Gaza dengan melanggar perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 19 Jan.  

“Kami menuntut perantara meminta Netanyahu dan penjajah Zionis bertanggungjawab sepenuhnya atas pelanggaran dan pembatalan perjanjian ini,” kata Hamas dalam satu kenyataan.  

Sejak Oktober 2023, serangan Israel mengorbankan lebih 48,500 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta menyebabkan kemusnahan besar di Gaza. —AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading