Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia mendarat di Jeddah

KUALA LUMPUR – Seramai 474 orang dari kumpulan pertama jemaah haji Malaysia KT29 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah, Makkah pada jam 1.26 petang waktu tempatan atau 6.25 petang waktu Malaysia, semalam.
Menurut kenyataan Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini, jemaah berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada jam 9.15 pagi waktu Malaysia dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAS) MH8128.
Ketibaan mereka itu disambut Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Nurrinanuwar Shamsuddin, Konsol Haji Mohammad Saimi Mat Som, pegawai Makkah Route dan petugas Tabung Haji.
Semua penerbangan haji berlepas pada 4 Julai hingga 17 Julai lepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Abdul Aziz di Madinah, manakala penerbangan berlepas semalam (18 Julai) hingga 5 Ogos ini mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz.
Setakat ini seramai 13,000 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Tanah Suci daripada keseluruhan 30,200 jemaah haji pada tahun ini.
Semua jemaah dibawa ke Makkah dengan 11 bas dan selamat tiba di Hotel Manar Al Shorouq di sini pada 3.40 petang waktu tempatan atau 8.40 malam waktu Malaysia, semalam.