KURSUS PRAPERKAHWINAN DALAM TALIAN UNTUK OKU

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempertimbang kelas dalam talian kursus praperkahwinan Islam, bagi memenuhi keperluan orang kurang upaya (OKU).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata pelaksanaan kursus praperkahwinan melalui mekanisme terbabit akan menggunakan penyampaian modul kursus yang lebih interaktif dan mesra OKU.

“Antara inisiatif yang sedang dipertimbang seperti penggunaan paparan grafik, penyediaan jurubahasa isyarat, rakaman video ceramah serta animasi.

“Semua inisiatif ini selaras dengan kandungan modul bersepadu kursus praperkahwinan Islam,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) yang meminta kerajaan sama ada berhasrat mewujudkan inisiatif lebih proaktif menangani kekangan golongan OKU dalam menghadiri kursus praperkahwinan.

Katanya, inisiatif itu adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan OKU, sekaligus merupakan komitmen dalam usaha memastikan OKU mendapat kefahaman yang baik mengenai Islam. –AlHijrah Online

Leave a Reply