TUNTUTAN PALSU: TIGA ANGGOTA RELA DIHADAP KE MAHKAMAH

ALOR SETAR: Tiga anggota serta seorang Penolong Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas tuduhan membuat tuntutan palsu elaun penugasan rondaan keselamatan sempena bulan kemerdekaan berjumlah RM59,520 tiga tahun lalu.

Tertuduh Pembantu Pertahanan Awam KP19, Mohd Khairul Anuar Maliki, 32, dan Idrus Zakaria, 47, Pembantu Pertahanan Awam KP22, Siti Munirah Abdul Rahim, 35, serta Penolong Pegawai Pertahanan Awam KP32 Sahrol Miza Samad, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan hakim Harmi Thamri Bin Mohamad @ Shaharudin.

Mengikut pertuduhan, mereka dituduh mengemukakan lampiran A iaitu pengakuan baucer tuntutan elaun kepada anggota-anggota RELA yang terlibat dengan penugasan rondaan sempena Bulan Kemerdekaan 2019 Daerah Kulim.

Selain itu, dokumen tuntutan berkenaan ialah lampiran B iaitu daftar kedatangan anggota RELA dan lampiran C iaitu tuntutan elaun untuk penugasan rondaan berkenaan.

Dokumen itu mengandungi butiran palsu berkenaan jumlah pembayaran RM59,520 kononnya anggota-anggota RELA telah menjalankan penugasan rondaan terbabit namun penugasan tidak dilaksanakan seperti dimaksudkan.

Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Rela Negeri Kedah, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar pada 10 September 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai berkenaan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Semua tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Tan Siew Ping.

Harmi Thamri kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan kes akan disebut semula bagi serahan dokumen pada 27 Disember depan.

Kesemua tertuduh kemudian membayar wang jaminan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar berserta masing-masing seorang penjamin. –AlHijrah Online

Leave a Reply