Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

LAFAZ ‘HAYYA ALASSOLAH’ DALAM AZAN DIPERLAHANKAN DI WILAYAH PERSEKUTUAN

DALAM NEGARA

LAFAZ ‘HAYYA ALASSOLAH’ DALAM AZAN DIPERLAHANKAN DI WILAYAH PERSEKUTUAN

KUALA LUMPUR: Lafaz ‘hayya ‘alassolah (marilah bersembahyang) sewaktu azan dikumandangkan dicadang supaya diperlahankan bagi kawasan di wilayah-wilayah persekutuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, cadangan itu telah disampaikan kepada wakil Istana Negara bagi menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

“Berhubung dengan azan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, ia adalah tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama di negeri masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam semalam.

Beliau berkata antara cadangan lain berkaitan kaedah azan adalah azan tetap dikumandangkan seperti biasa kerana ia adalah syiar Islam. 

“Setelah azan, mu’ azzin/bilal hendaklah berpesan, “Solatlah di rumah atau tempat kamu.” dalam Bahasa Melayu kerana ia lebih difahami oleh umat Islam di Malaysia.

“Ini bagi meraikan beberapa hadith riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad. Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin (1/208) menghukumkan sunat bagi muazzin untuk menyebut sedemikian selepas azan,” katanya.

Zulkifli berkata berdasarkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Khas Bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri sebentar tadi, semua arahan yang dikeluarkan di peringkat negeri mestilah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

Bagaimanapun, beliau berkata isu berkaitan agama Islam diselaraskan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri.

“Berkenaan pengurusan jenazah korban COVID-19 yang beragama Islam, katanya, ia hendaklah dilaksanakan sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini iaitu jenazah boleh diuruskan melalui prosedur tayammum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah itu,” katanya.

Beliau berkata kelonggaran itu diberikan kerana ada kemungkinan wujud kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kes ke-178 dan kes ke-358 atas pemergian mereka. Pemergian mereka pada hakikatnya adalah tragedi yang memilukan buat negara,” katanya. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading