LAGI KELONGGARAN AKTIVITI PENGIMARAHAN MASJID DIBERIKAN – JAWI

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengeluarkan ketetapan baharu bagi pelaksanaan aktiviti pengimarahan masjid, surau Jumaat dan surau bagi kawasan yang tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Menurut kenyataan Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail, pelaksanaan tersebut telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) antaranya penjarakan fizikal 1.5 meter.

Ketetapan baharu yang akan dilaksanakan antaranya tazkirah dan zikir munajat selepas solat Maghrib hingga masuk waktu Isyak setiap hari secara berselang-seli dengan mengehadkan bilangan jemaah kepada separuh kapasiti dewan solat utama.

“Kuliah Subuh selama tidak melebihi 30 minit, majlis akad nikah dengan kehadiran tidak melebihi 30 orang tertakluk kepada kapasiti dewan solat utama masjid.

“Setiap masjid, surau Jumaat dan surau akan mengadakan solat Hajat, bacaan Yasin, doa munajat dan tahlil setiap malam Jumaat,” katanya.

Tambahnya, solat hajat akan dilakukan selepas solat fardu Maghrib pada setiap malam dan selepas solat Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Ajib berkata, bagi kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketetapan bagi aktiviti pengimarahan masjid, surau Jumaat dan surau tertakluk pada pelaksanaan sebelum ini.

Bagaimanapun, perubahan bagi kawasan PKP mengenai jumlah kehadiran akad nikah tidak melebihi 30 orang tertakluk kepada keluasan dewan solat utama masjid dengan mematuhi penjarakan fizikal 1.5 meter.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan penguatkuasaan PKPB di beberapa lokasi termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

Bagaimanapun, PKP masih dilanjutkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga 4 Mac 2021. —AlHijrah Online

Leave a Reply