LAMA TIDAK TERIMA BAYARAN, BAS SEKOLAH BELUM SEDIA BEROPERASI

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar pengusaha bas tidak akan memulakan operasi pada hari pertama pembukaan semula sekolah secara berperingkat yang dijadualkan pada 15 dan 22 Julai depan.

Presiden Gabungan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, majoriti mereka berdepan kesukaran untuk membaik pulih semula kenderaan tersebut yang melibatkan kos yang tinggi setelah tidak memperoleh pendapatan sepanjang PKP.

“Mereka perlu tanggung pelbagai kos utk mulakan operasi bas sekolah menjelang pembukaan sekolah pada minggu depan. Contohnya sejak PKP pada 18 Mac, apabila bas berhenti dan tidak bergerak, nak mulakan semula operasi selepas hampir 3 setengah bulan, ‘maintenance’ nak mulakan agak tinggi,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan mereka terjejas teruk kerana tidak menerima bayaran tambang daripada ibu bapa pelajar sepanjang PKP dan terpaksa mencari pekerjaan alternatif sepanjang tempoh tersebut.

Selain itu, beliau turut meminta geran subsidi pengusaha bas sekolah yang berdaftar oleh pihak berwajib dilaksanakan secepat mungkin.

Katanya ini kerana perkhidmatan bas sekolah amat diperlukan terutama bagi kedua-dua ibu bapa yang bekerja.

“Kenapa nak mulakan operasi, mereka perlu ada modal yang banyak? Pendapatan tiada ketika PKP. (Mereka) tidak dapat perhatian. Saya mohon kalau boleh semua pihak terutama agensi berkaitan supaya tengoklah sikit industri bas sekolah Malaysia,” katanya

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) operasi bas sekolah, pemandu bas serta pelajar perlu memakai topeng pelitup muka sepanjang perjalanan dan proses sanitasi dilakukan ke atas kenderaan tersebut.

Dalam pada itu, beliau meminta agar urusan pembaharuan cukai jalan, insurans kenderaan dan pemeriksaan berkala bagi bas sekolah dilaksanakan pada hari yang sama setiap tahun bagi memudahkan urusan tersebut. — AlHijrah Online / Abdul Hakim Hassan

Leave a Reply