ISRAEL SERANG KUBU HAMAS DI GAZA

BAITULMAQDIS: Tentera Israel menyerang tapak milik Hamas di Gaza pada malam Ahad, selepas Zionis mendakwa tiga roket dilancarkan terlebih dahulu pejuang Palestin ke Selatan Israel.

Jurucakap tentera Israel mendakwa serangan yang menggunakan jet pejuang dan helikopter itu menyasarkan kubu Hamas di Utara Gaza termasuk menyerang infrastruktur bawah tanah milik Hamas.

Setakat berita ini ditulis, tiada sebarang kematian atau kecederaan dilaporkan kedua-dua pihak.

Agensi berita Xinhua melaporkan, pada petang Ahad, pejuang di wilayah Palestin melancarkan tiga roket ke negara haram Israel dengan satu daripadanya berjaya dipintas sistem pertahanan anti-roket Iron Dome.

Dua lagi roket meletup di kawasan terbuka dan tiada kecederaan dilaporkan.

Tiada mana-mana kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut tetapi Israel percaya ia tindakan Hamas.

Beberapa minggu kebelakangan ini ketegangan antara Israel dan pejuang Palestin semakin memuncak selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mahu mengilhak dan merampas tanah milik Palestin di Tebing Barat dan Lembah Jordan. — AlHijrah Online.

Leave a Reply