‘SAYA CABAR AL JAZEERA BERI NAMA NEGARA YANG BERI KEBEBASAN KEPADA PATI’ – ISMAIL SABRI

KUALA LUMPUR: Agensi berita Al Jazeera hari ini dicabar Malaysia untuk menamakan negara yang memberi kebebasan kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Ia selepas Al Jazeera menerbitkan dokumentari yang mendakwa Malaysia bersifat perkauman dalam mengendalikan PATI ketika penularan COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata apa yang dilakukan Malaysia adalah berlandaskan undang-undang bukannya kerana sifat perkauman.

“Jabatan Imigresen Malaysia menggunakan Akta Imigresen untuk tahan mereka yang tiada dokumen yang sah atau langsung tiada dokuman.

“Kita boleh tanya nama negara yang membenarkan warga asing yang tiada dokumen atau tidak sah boleh bebas di negara mereka?” kata Ismail Sabri pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Putrajaya.

Ismail Sabri berkata beliau mengalu-alukan Al Jazeera untuk menamakan negara yang memberikan kebebasan tersebut.

“Saya cabar Al Jazeera negara mana yang beri kebebasan kepada warga asing tidak berdokumen. Jawapan saya tiada. Tetapi kalau Al Jazeera ada senarai tersebut silakan,” katanya.

Ismail Sabri berkata walaupun PATI masuk ke negara ini secara haram namun kerajaan tidak mengabaikan mereka ketika penularan COVID-19.

Kerajaan menanggung penuh kos saringan COVID-19 yang dijalankan ke atas PATI malah mereka yang dikesan positif diberikan rawatan di lokasi khas di MAEPS, Serdang sebelum dihantar ke depoh-depoh tahanan imigresen.

Dakwaan kanak-kanak PATI digari juga adalah tidak benar sama sekali.

“Ini pembohongan secara terbuka. Kanak-kanak tidak digari malah mereka ini diasingkan bersama ibu bapa di termpat khas di depoh tahanan dan tidak dicampurkan dengan tahanan lain,” kata Ismail Sabri.

Ismail Sabri berkata Al Jazeera dituntut untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas tuduhan yang mengelirukan dan berniat jahat.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata beliau amat berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang turut sama menentang laporan dokumentari tersebut dan memberi sokongan terhadap tindakan yang dilakukan kerajaan.

“Beratus ribu telah dislike video tersebut dan pihak Al Jazeera juga telah menutup ruangan komen,” katanya. – AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply