LAPAN SUSPEK PENCEMARAN SUNGAI GONG DIREMAN

KUALA LUMPUR: Dua pengarah dan enam pekerja syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran air di Sungai Gong, Rawang direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman ke atas suspek yang berusia 28 hingga 66 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Selayang, Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Terdahulu kesemua suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang pada jam 9 pagi tadi selepas mereka ditahan di Rawang, Selangor jam 11.30 pagi semalam.

Dua pengarah syarikat yang juga anak beranak itu ditahan bersama enam pekerjanya masing-masing dua warga tempatan dan empat lelaki warga asing dari Nepal, Pakistan dan Myanmar.

Mengikut kenyataan polis sebelum ini, siasatan ke atas lapan suspek dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan berlaku pemutusan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau bagi menjalankan sebarang pengeluaran.

Jenayah pencemaran sungai itu dikesan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada jam 12.38 pagi pada 19 Oktober lalu dan menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau panjang terpaksa dihenti tugas selepas kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

Insiden itu menyebabkan lebih 1 juta akaun di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Bagaimanapun Air Selangor dalam kenyataannya hari ini memaklumkan gangguan bekalan air di 1,292 kawasan terjejas telah pulih sepenuhnya. – AlHijrah Online

Leave a Reply