PENIPUAN WANG: PDRM TUKAR PEGAWAI ATASAN BERJAWATAN PENTING – IGP

TAN SRI ABDUL HAMID BADOR (KIRI) KETIKA MELAKUKAN LAWATAN KE PUSAT PENYIARAN DIGITAL TV ALHIJRAH

KUALA LUMPUR: Pegawai atasan polis yang sedang memegang jawatan penting akan ditukarkan sementara menunggu siasatan penuh dijalankan berhubung kes sindiket penipuan dan penggubahan wang haram besar-besaran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, penggiliran jawatan terutama di jabatan tertentu itu bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku dalam kalangan pegawai polis atasan.

“Saya sedang berbincang dengan pengarah saya untuk ambil tindakan awal. Mungkin mereka akan segera ditukar keluar daripada jawatan sensitif sementara menunggu laporan penuh sama ada pendakwaan boleh dilakukan terhadap mereka yang terlibat,” katanya kepada Berita Alhijrah ketika melakukan lawatan ke Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah hari ini.

Jelasnya, penggiliran jawatan dibuat bagi mengelak seseorang menjawat jawatan lebih lama daripada tempoh yang diperlukan lebih-lebih lagi melibatkan jabatan sensitif seperti jenayah komersial dan dadah.

Tegasnya, kes penipuan berprofil tinggi tersebut akan disiasat sehingga ke akar umbi dan pihaknya akan memastikan tidak berlaku sebarang cubaan untuk melindungi suspek yang terlibat.

“Saya beri jaminan kes ini akan disiasat sampai akar umbi dan pastikan tidak berlaku cubaan melindungi sesiapa pegawai tinggi atau pegawai pangkat rendah yg terlibat dgn kes ini.

“Saya telah dapat sebahagian laporan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saya tunggu laporan penuh hasil soal siasat terhadap individu tersebut. Apabila laporan penuh diterima, saya akan buat keputusan muktamad,” katanya. — AlHijrah Online

Leave a Reply