LELAKI CEMAS DIKEJAR BIAWAK 60 KILOGRAM

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila dikejar seekor biawak besar dianggarkan seberat 60 kilogram.

Kejadian itu berlaku di belakang rumahnya yang terletak di Kampung Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu.

Lelaki berkenaan sebelum itu sedang menjemur pakaian di belakang kediamannya sebelum ternampak kelibat reptilia itu.

Dia bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri sebelum menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu.

Sebelum ini, haiwan tersebut sering dilihat berkeliaran berhampiran rumahnya untuk mencari makanan, dan perkara itu membimbangkannya kerana dia mempunyai anak kecil.

Sementara itu, pihak APM bersama empat anggota dari Ibu Pejabat APM Kuala Terengganu/Kuala Nerus bergegas ke lokasi setelah menerima panggilan kecemasan.

“Beratnya (biawak) dalam anggaran 60 kilogram. Masa kita nak tangkap tu dia bertindak agak agresif sehingga menyukarkan kita untuk menangkapnya. Mengambil masa lebih kurang 10 ke 15 minitlah nak tangkap dia..”

Mohd Sharolsam Alias
APM Kuala Terengganu / Kuala Nerus

Mohd Sharolsam dalam pada itu turut menasihati orang ramai agar membuang sampah di dalam tong yang tertutup rapat memandangkan haiwan seperti biawak akan mecari makanan di tempat yang terdedah.

Biawak yang ditangkap itu dibawa ke balai APM dan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu untuk tindakan lanjut.

Setakat September tahun ini, APM Terengganu telah menangkap lebih 50 ekor biawak pelbagai saiz di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. – AlHijrah Online / Kamalruddin Taib / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply