PETALING JAYA: Seorang lelaki yang berang selepas ditegur kerana merokok di stesen minyak di Damansara Damai, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan memandu secara melulu, Isnin lalu.
Tertuduh, R. Simacalam, 35, didakwa memandu kereta jenis Proton Perdana dengan melulu hingga boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain di Jalan PJU 10/10B, Damansara Damai pada pukul 2.55 petang, pada 9 Dis.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran mencadangkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin manakala peguam V. Pushparajan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit mempunyai tanggungan keluarga.
“Tertuduh perlu menjaga ibunya yang berusia 59 tahun dan abang yang lumpuh berusia 39 tahun,” kata peguam.
Majistret Farah Azura Mohd Saad membenarkan Simachalam diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jan depan untuk sebutan kes.
Baru-baru ini tular video memaparkan seorang lelaki sedang merokok sambil berjalan ke kenderaannya di kawasan stesen minyak sebelum ditegur orang awam.
Lelaki tersebut berang dengan teguran itu kemudian bertindak melakukan provokasi dengan memandu secara membahayakan dan menghalang laluan kenderaan dipandu oleh orang awam berkenaan.
Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.—AlHijrah Online