LELAKI MAUT TERTIMBUS KETIKA MENCARI EMAS

SETIU: Seorang lelaki maut akibat tertimbus dalam runtuhan tanah semasa kerja-kerja mencari emas di kawasan lombong emas di Kampung Air Sejuk pada jam 5 petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, ketika kejadian Mohd Johari Mohd Asri, 34, ke kawasan berkenaan bersama ibu dan bapanya untuk melombong emas sebelum mangsa tertimbus.

Kata Afandi, anggotanya bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan berkenaan dan disertai anggota bomba bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Menurutnya, semasa kejadian, keadaan cuaca hujan lebat yang turun sekejap-sekejap menyebabkan tanah di kawasan tersebut menjadi lembut.

Katanya, mayat mangsa kemudian ditemui di dalam lubang sedalam kira-kira tiga meter pada jam 7 petang dan berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian.

Ujarnya, usaha mengeluarkan mangsa perlu dilakukan dengan bantuan jentolak kerana keadaan lombong yang bertanah liat dan berpasir serta mudah runtuh.

Afandi berkata, mayat mangsa yang juga bapa kepada dua anak itu kemudian dihantar ke Hospital Setiu oleh pihak polis untuk tindakan lanjut. –AlHijrah Online

Leave a Reply