LRT DIPERCAYAI BERTEMBUNG, PENUMPANG CEDERA

KUALA LUMPUR: Penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) cedera selepas dua buah tren laluan Kelana Jaya berhampiran stesen Kampung Baru bertembung, kira-kira jam 9.15 malam tadi.

PRASARANA dalam kenyataannya memaklumkan bahawa kejadian tersebut melibatkan tren bernombor 40 dan 81.

“Pasukan kami sedang menguruskan bantuan dan kerja-kerja menyelamat sekarang. Sila bertenang dan patuhi segala arahan.

“Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN – MANGSA LRT DAPAT BANTUAN KHAS RM1,000

Menerusi ciapan di akaun Twitter Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, setakat ini seramai 64 daripada 213 penumpang yang terlibat dalam kemalangan tersebut yang telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Seramai enam mangsa mengalami kecederaan parah dengan tiga daripadanya menerima alat bantuan pernafasan.

“Manakala 15 lagi mangsa mengalami kecederaan separa parah manakala 43 lagi tidak kritikal,” katanya

Bagaimanapun, pihak polis meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian yang melibatkan kecederaan kepada orang awam.

“Dalam tempoh ini, orang ramai atau mana-mana pihak janganlah cuba membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam,”

Menurut laporan media, ini merupakan kemalangan LRT pertama yang mengakibatkan kecederaan parah kepada penumpang semenjak bermulanya operasi mereka pada tahun 1998.—AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply