KUOTA HAJI: MALAYSIA MASIH TUNGGU PENGUMUMAN ARAB SAUDI

Sumber Gambar: AFP

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Lembaga Tabung Haji (TH) masih menunggu pengumuman rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berkaitan jumlah kuota jemaah haji negara, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaan ibadah untuk musim Haji pada kali ini.

Pun begitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri berkata, TH ketika ini sedang giat membuat persediaan operasi haji tanah air dan Tanah Suci sejak tahun lalu bagi memastikan kelancaran urusan bakal haji Malaysia pada tahun ini.

“Bagi operasi haji tanah air, persiapan awal telah diperkukuhkan dengan mengambil kira amalan norma baharu di stesen berlepas semasa bakal haji melapor diri.

“Manakala di Tanah Suci, persiapan telah dilakukan di Makkah dan Madinah dari segi penginapan, pengangkutan, penerbangan, sajian makan dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya TH juga telah mengadakan mengadakan beberapa siri mesyuarat dan bengkel secara berkala dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi persediaan kesihatan dan keselamatan jemaah haji di Tanah Suci.

Kursus Asas Haji katanya selama 13 minggu juga telah berjaya dianjurkan dengan lancar di seluruh negara secara dalam talian bagi melengkapkan bakal jemaah haji dengan ilmu pengetahuan dan maklumat terkini serta gambaran suasana semasa di Tanah Suci.

Berhubung vaksin COVID-19 untuk jemaah, Zulkifli berkata, bermula Mac 2021, TH telah menyarankan bakal jemaah haji Malaysia untuk mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau laman sesawang http://www.vaksincovid.gov.my.

“Ini bagi memenuhi prasyarat wajib yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi iaitu pengambilan vaksin COVID-19 samada Pfizer, Astrazeneca, Johnson & Johnson atau Moderna sahaja.

“Bakal jemaah haji juga diminta bersedia untuk mengambil suntikan wajib vaksin meningococcal,” katanya.

Beliau menasihatkan bakal jemaah haji untuk bersabar dan membuat persiapan sebaiknya dari sudut ilmu, fizikal, spiritual dan semestinya mendaftar untuk pengambilan vaksin COVID-19 agar pelaksanaan ibadah haji di Tanah Suci kelak berjalan lancar. –AlHijrah Online

Leave a Reply