LZS KESAL RUMAH SEWA ASNAF DITINGGALKAN KOTOR, TIDAK TERURUS

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) kesal dengan tindakan penyewa yang merupakan asnaf kerana meninggalkan rumah sewa di kawasan Tanjong Karang dalam keadaan kotor dan rosak.

LZS memberi reaksi tersebut terhadap sebuah hantaran di ‘page’ Facebook I Love Tanjong Karang menunjukkan keadaan rumah yang tidak terurus dan kotor.

“Pemilik rumah berkenaan disaran untuk membuat aduan rasmi ke LZS bagi menghentikan bantuan sewa rumah tersebut memandangkan penyewa tidak lagi menetap di situ.

“LZS juga ingin mengingatkan semua asnaf yang menerima bantuan ini untuk amanah dan bertanggungjawab menjaga rumah sewa diduduki,” katanya.

Ujarnya, tindakan menganiaya pemilik rumah sewa tersebut akan menyebabkan asnaf lain sukar untuk menyewa pada masa hadapan.

LZS memaklumkan lebih 16,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor menerima bantuan sewa rumah dari badan tersebut.

Bantuan berbentuk bulanan itu disalurkan terus ke akaun pemilik rumah sewa bagi menyantuni keperluan asas keluarga asnaf di Selangor.—AlHijrah Online

Leave a Reply