MAHASISWA TERJEBAK, AMBIL TINDAKAN TEGAS TERHADAP KEGIATAN ‘SUGAR DADDY’ – AHMAD MARZUK

KOTA BHARU: Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dengan kegiatan ‘sugar daddy’ termasuk pengendali aplikasi ‘Sugarbook’ yang mempromosikan kegiatan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, dakwaan peningkatan jumlah mahasiswa yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral itu sangat mengecewakan.

“Aplikasi itu juga perlu dihalang daripada digunakan di negara ini, kita tidak boleh mendorong rakyat untuk melakukan perkara yang tidak betul, melanggar undang-undang dan hukum menerusi aplikasi tersebut,” katanya selepas menyampaikan Sumbangan Musaadah COVID-19 kepada pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk memaklumkan perkara tersebut masih dalam siasatan kerajaan dan kementerian termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenakan tindakan sewajarnya.

Terdahulu, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, berkata statistik mendapati seramai 12,705 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berdaftar dengan suatu aplikasi untuk mencari ‘sugar daddy’.

Menurutnya, peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran pengguna baharu aplikasi tersebut menggambarkan keruntuhan moral serta kegawatan kewangan mahasiswa akibat desakan hidup sewaktu COVID-19.—AlHijrah Online

Leave a Reply