MAHU SAJA SAYA TUMBUK ORANG ITU! : ABANG LONG FADHIL
15 tahun menjadi gengster mengajarnya menyelesaikan masalah dengan kederat. Kalau ada yang degil dalam membayar wang perlindungan, atau liat melangsaikan hutang Ah Long, cara penyelesaian paling berkesan ialah hentam saja dengan sebiji penumbuk. Apabila hidung mangsa sudah berdarah, pasti mereka akan cepat sedar dan segera menyerahkan wang.
Ini cara Yishun, kawasan gengster termashyur di Singapura. Malah kebiasaannya, mengingatkan saja tubuh si pemungut hutang yang gempal dan wajah ganas dipenuhi tatu, tidak mungkin ada yang berani ingkar terhadap arahan wang perlindungan dan komitmen membayar hutang Along.
“Itu cara masa saya jahat. Tak puas hati kita pukul saja,” kata Abang Long Fadil.
Namun selepas keluar masuk penjara selama 15 tahun, sejak dihukum atas kesalahan jenayah pertama pada tahun 1999 ketika berusia 12 tahun, Abang Long Fadil memilih untuk bertaubat. Langkah pertama yang dilakukan setelah sebulan mengurungkan diri kerana dihantui ketakutan akan datangnya kiamat, Abang Long Fadil memilih untuk pergi ke masjid.
“Muka saya penuh tatu. Jadi semua orang pandang serong. Ada jemaah tak mahu salam walaupun saya hulur tangan. Masa itu, rasa nak tumbuk saja muka orang itu,” katanya disambut dengan derai tawa 600 jemaah yang memenuhi Masjid Al Riduan, Hulu Kelang.
Malam itu, setelah berhijrah meninggalkan dunia samseng pada 2014, Abang Long Fadil dijemput menjadi panel program berkongsi pengalaman dengan tema Thank You Allah. Majlis turut disertai pengarah filem Gengster KL, Syamsul Yusuf bersama Ustaz Syed Norhisham dan Ustaz Zuhdi Mat Piah.
Memeruskan cerita pengalaman pertamanya pergi ke masjid, Abang Long Fadil yang waktu itu masih bergelut trauma kerana dihantui mimpi kiamat menjelaskan, walaupun perasaannya amat marah, namun dia sedar dengan wajah bertatu pasti dirinya akan dianggap pelik.
“Saya pergi ke masjid selepas sebulan berkurung di rumah. Selepas mimpi kiamat saya takut keluar rumah kerana tak mahu mati di tepi jalan,” katanya.
Langkahnya ke masjid diharapkan sebagai satu tindakan mencari jalan penyelesaian. Bermula dengan ketakutan, hidupnya selepas itu berubah. Abang Long Fadil memilih meninggalkan dunia gengster dan mahu mengabdikan diri pada agama. Bagi menjauhi dirinya daripada kehidupan lampau yang penuh keganasan, dia pergi ke Indonesia untuk mendalami soal asas dalam melaksanakan ibadah sebagai seorang Islam.
“Di sana, saya sedar akan dosa-dosa saya. Saya ambil lapan bulan untuk hafal Al Fatihah. Allah uji sebab dulu saya selalu kutuk Allah,” katanya.
Semua luahan hati dan perkongsian pengalaman Abang Long Fadil akan disiarkan dalam program #PenghijrahanFenomena di TV Alhijrah Khamis 2 Jun 10 malam.
Sebelum bersama Abang Long Fadil, pada 9.30 malam, penonton berpeluang mendengar ceramah Jenaka Sinis Tetapi Manis dalam program Syamsul Debat yang disiarkan 9.30 malam.
Bagi yang berminat mendengar kuliah yang mengasah ketajaman fikiran dalam memahami Al Quran Itu Firman Allah, jangan lepaskan peluang bersama Dr. Zakir Naik pada 8.30 malam.
Semua temujanji menarik ini hanya di TV Alhijrah #IslamIsFirstClass dan #SegalanyaBermulaDiSini.